Tuesday 30 March 2010

PEMIKIRAN KRITIS – SATU MESEJ BERKEYAKINAN, KEKUATAN, KEBERANIAN, MAMPU BERSAING DAN MEMPUNYAI KEBIJAKSANAAN.  Melayuraya daily- Dato'  Azizan Yaakob.


Berfikiran kritis adalah proses mental yang memerlukan interaksi antara pengetahuan, kemahiran dan sikap bagi membolehkan individu memahami dan mencorak alam sekelilingnya.

Kritis berasal dari perkataan Inggeris 'Critic'. Kritis adalah kata dasar dari perkataan Greek 'kriths' (kritikos) ertinya menimbang (judge). Menimbang maksudnya menilai, membanding, membeza, mencetuskan dan menyoal samada sesuatu itu benar atau salah. Kritis bukan kritik dalam pengertian biasa bersifat negatif seperti kritikan, hentam, kecam, komen atau bangkang.

Pemikiran kritis dapat membantu mencari kesilapan, kesalahan dan kelemahan pada cara-cara berfikir seseorang atau pada idea-idea atau cadangan yang dikemukakan. Ia dapat membantu untuk memperbaiki kesilapan atau kelemahan  idea seseorang itu samada boleh diterima atau ditolak disebabkan tidak jelas, kabur dan tidak cukup maklumat.

Pemikiran Kritis bersifat terbuka menerima sesuatu idea atau pendapat dan  berupaya mempertimbangkan idea-idea itu semula dengan menganalisa setiap sudut dan aspek. Pemikiran kritis juga turut mencernakan beberapa idea dan konsep baru yang lebih sempurna daripada pandangan atau idea yang diterima sebelumnya.

Kritis adalah kebolehan untuk membantu dan memperbaiki idea-idea individu lain supaya ia boleh diterima atau ditolak sekiranya idea-idea itu tidak benar atau tidak ada kepastian samada hendak diterima atau tidak, disebabkan tidak cukup maklumat untuk menerima atau menolak. Kritis memerlukan kemahiran tertentu seperti kebolehan untuk mendengar, membaca fikiran, menilai hujah-hujah, merenung dan mencari andaian-andaian yang tersirat.

Salmon,M.A (1996).Introduction to logic and critical thinking  mengatakan bahawa "kiritis adalah keupayaan untuk menganalisa apa yang diperkatakan, menilai dengan teliti, mencari bukti tentang sesuatu perkara, menyusun atur semua maklumat dengan tepat, mengelak dari membuat kesilapan cara berfikir, meneliti dan menyoal perkara-perkara yang tidak munasabah serta membuat keputusan dan perancangan berdasarkan kepada maklumat yang ada"

Wak Salmon, lagi menyambung "kritis memberi perhatian khusus tentang apa yang kita dengar dan baca supaya kita dapat memahami dan memberi maklum balas yang sewajarnya. Kita menggunakan bahasa untuk berkomunikasi antara satu sama lain dan komunikasi itu berlaku dalam berbagai cara. Kita melahirkan perasaan seperti suka, duka, marah dan harapan dalam bahasa. Begitu juga kita menyampaikan maklumat, seterusnya kita membuat persolanan, membuat permohonan dan mengeluarkan arahan. Kita perlu pastikan ada bukti bahawa semua maklumat yang disampaikan melalui komunikasi adalah betul". Kritis bertujuan merenung dengan mendalam berbagai isu untuk mencari kefahaman-kefahaman baru. Kritis dapat menentukan samada sesuatu kenyataan itu betul atau salah. Menilai mutu penghujahan yang digunakan untuk menyokong kesimpulan yang dibuat, Mentafsir  idea-idea yang kompleks, Kitikian yang masuk akal atau tidak, bagi memperteguhkan lagi idea tersebut. Kritis bersifat terbuka dan tidak rigid.

Kritis adalah satu bentuk berfikir yang dilakukan untuk diri sendiri ( thinking for oneself). Seseorang harus memikirkan sesuatu isu atau masalah yang telah, sedang dan akan berlaku berdasarkan pemikiran sendiri tanpa dipengaruhi oleh pemikran orang lain. Kritis membawa kita berfikir sendiri lebih bersistem, berkompas serta konsisten  dalam membuat keputusan. Keputusan berdasarkan fikiran sendiri merujuk kepada maklumat yang lengkap. Apa yang kita fikirkan menjadi keputusan. Kita menerima hakikat keputusan itu dan menanggung risikonya.

Fikiran yang dikawal oleh prasangka, kurang maklumat atau emosi cenderung membuat keputusan tergopoh gapah, terburu-buru bukanlah pamiran satu pemikiran yang kritis. Lebih malang bila mengemukakan jawapan mudah pada hal-hal yang sukar dan kompleks. Pemikiran yang tidak kritis juga mudah keliru antara kebenaran, realiti dan idealisma. Seseorang yang kritis juga boleh mengukur risikonya.

Asas pemikiran kritis adalah logik. Logik dan kritis adalah sains teoritis. Logik dan kritis berpaut seperti tebing dengan sungai. Kirtis bersandar terus pada logik. Mendalami  kritis perlu menguasai ilmu logik. Semua hal yang ada kaitan dengan pemikiran kritis,  logik menjadi terasnya. Logik adalah pancang menentukan sempadan pemikiran kita itu benar atau salah.

Kritis adalah satu bentuk kemahiran membuat penilaian berkenaan sesuatu data atau maklumat meliputi membanding, membeza, menyusun atur, mengelas dan mengenalpasti sebab-akibat. Pemikiran kritis mampu menganalisa sesuatu hujah itu kuat atau lemah. Teori yang kuat dipakai yang lemah disangkal. Sudah tentu, seseorang yang berfikiran kritis cekap menganalisa sesuatu hujah yang lemah samada pengucapan atau penulisan. Seseorang yang benar-benar kritis dapat membaca standard pemikiran orang lain melalui beberapa baris pengucapannya.
Sifat seorang yang kritis pada awal komunikasinya dengan orang lain banyak bertanya bagi mengesan pemikiran seseorang itu.

Kritis membentuk style, personaliti dan keterampilan seseorang dalam semua zaman. Bagaimanapun setiap zaman mempunyai gaya pemikiran kritis yang berbeza berdasarkan persekitaran kehidupan. Kritis zaman batu tidak sama dengan kritis zaman masyarakat pertanian dan kritis zaman masyarakat pertanian tidak sama dengan zaman perindustrian. Kita sekarang berada dizaman informasi yang menyeru kepada dunia tunggal. Apakah kita sudah memasang pemikiran kritis dunia tunggal ? jika tidak, kita terus melangkah kehadapan, alih-alih kita menyedari rupanya berada  dibelakang.

SENARAI HITAM – MENGHITAMKAN POTENSI BESAR MELAYURAYA TERPELAJAR

DATO’ AZIZAN YAAKOB - MELAYURAYA DAILY

Langkah menyenarai hitamkan nama para lepasan institusi pengajian tinggi yang belum membayar balik pinjaman pelajar bukanlah satu pilihan tepat kerana ia membunuh potensi bumiputra terpelajar. Pilihan jalan singkat itu memudharatkan suasana pembiakan golongan berpotensi negara.

Lebih mengaibkan saban minggu nama-nama mereka terpapar didada akhbar perdana. Mana-mana yang belum terpapar namanya berdebar-debar jantung. Mereka dibilang sebagai orang yang disekat keluar negara oleh Jabatan imigresen sebaris dengan mereka-mereka yang muflis, jenayah, pelari cukai dll.

Wajar disedari bahawa mereka yang meminjam untuk mengaji di IPT adalah anak-anak bumiputra yang miskin, kurang mampu menampung yuran dan kos-kos lain untuk pembelajaran. Pinjaman itu dibuat atas nama mereka kerana desakan ibu bapa atau penjaga yang diberi ruang, malah ditawar untuk meminjam oleh kerajaan.

Polisi ‘menyapu arang’ ini tidak membuat pertimbangan bahawa ejensi bertindak kasar sendirian melainkan mendapat restu yang lebih atas untuk dilaksanakan. Namun demikian, tidak boleh dipinggirkan pendapat bahawa ia satu pemikiran ejensi itu kerana merasa panik dan bertemu jalan buntu.

Ingatan masih segar sekitar awal 1990an atau hujung 1980an, apabila Dasar Tun Dr.Mahathir sedang ghairah melaksanakan dasar pengswastaan bagi melepaskan tanggungan kerajaan yang terlalu besar serta perubahan untuk meningkatkan produktiviti maka sibuk jugalah bapak-bapak menteri mengemukakan cadangan ejensi-ejensi dibawah kementerian masing-masing untuk diswastakan. Satu istilah lain digunakan agak manis iaitu ‘dikoperatkan’.

Sebelum dikoperatkan semua pengurusan IPTA ditanggung oleh kerajaan seperti sekolah bantuan penuh kerajaan sekarang. Gaji kakitangan, utility, bangunan dan lain-lain biaya dibawah bajet kementerian pelajaran. Mahasiswa belajar secara percuma dan biasiswa kecil hanya sebagai wang saku sahaja. Bagaimanapun kerajaan terbeban besar menanggung pekej pelajar keluar negara jumlahnya sangat ramai serta pengaliran wang keluar negara berbilion ringgit setiap tahun, pengalaman yang memeritkan.

Menteri Pelajaran pada ketika itu mempunyai iltizam untuk mengangkat taraf IPTA ketahap ‘global standard’ dan berhasrat untuk menjadikan pendidikan sebagai industri sekurang-kurangnya hub-pendidikan diperingkat Asia. Jika IPTA bergantung kepada kerajaan, visinya itu sukar dicapai maka lahirlah formula baru bahawa semua peruntukan pengurusan IPTA dalam bajet tahunan Kementerian Pelajaran diagihkan kepada pelajar dalam bentuk biasiswa. IPTA mengenakan bayaran atau yuran daripada pelajar sebagai sumber pendapatan. IPTA diberi kuasa otonomi menguruskan IPTA dibawah seliaan kerajaan. Peringkat awal IPTA diberi geran sebagai pelincir. Konsep ‘enam tolak enam- licin’. Pelajar mendapat biasiswa – bayar yuran pengajian IPTA jana pendapatan- bayar gaji, utility dan pengurusan. Peruntukan kerajaan disalurkan kepada sebuah badan yang ditubuhkan iaitu PTPTN yang dikawal oleh Kementerian Pelajaran. Permohonan pelajar diproses dan ditimbang kelulusan oleh tabung ini.

Pada peringkat pertumbuhan, dasar ini berjalan baik. Lama kelamaan kerajaan tidak lagi menyediakan bajet itu didalam belanjawan tahunan negara. PTPTN putus bekalan. Begitu juga MARA. PTPTN mengambil langkah meminjam dari mana-mana GLC atau KWSP dll. Namun demikian tidak mencukupi juga. Akhirnya polisi ‘korek balik’ daripada peminjam lebih digiatkan. Jika tidak, modal tidak berpusing. Lantaran itu berlakulah ‘korek, papar, hitam dan sekat’.

POLISI KOREK- PAPAR- HITAM DAN SEKAT

Idea membuat polisi yang mudah ini tidak memerlukan kebijaksanaan yang luar biasa atau ‘outbox thinking’. Ia bukanlah satu lonjakan tinggi pemikiran sebuah bangsa besar. Melayuraya wajar berfikiran besar dan luar biasa. Tidakkah ejensi berkenaan membuat survey dimana mereka berada sekarang? Apakah mereka sudah mempunyai pekerjaan tetap atau menyertai bidang perniagaan dan keusahawanan?. Jika mereka tidak mempunyai pekerjaan bagaimana mereka boleh membayar?. Apakah sukar mencari mereka yang hilang sedangkan maklumat lengkap ibu-bapa, penjaga serta nama-nama untuk rujukan lengkap didalam borang permohonan?. Tidakkah ejensi bergerak atas maklumat sebaliknyanya mengamalkan pendekatan purba?.

Dengan menyenarai hitamkan mereka dapatkah potensi berkembang?. Institusi kewangan mana tidak jijik melihat mereka tampil untuk memohon pinjaman bagi memulakan atau mengembangkan perniagaan?. Negara manakah mereka boleh melihat peluang bisnes jika disempadan negara sudah tersekat?. Sedangkan kita bercakap tentang golbalisasi. Bukankah lepasan IPT menjadi mangsa dan bertaraf muflis dalam usia muda dan terpelajar?.

Golongan terpelajar adalah kumpulan berpengaruh, pemimpin pendapat serta luas rangkaian. PM Najib tentu tidak mengizinkan golongan ‘gila kePutrajaya’ berura-ura untuk berjanji menghapuskan pinjaman pelajar lepasan IPTA dalam manifesto mereka PRU 13. Mereka akan membuat apa sahaja janji untuk melepaskan tengkuk mereka kePutrajaya. Rakyat pasti bertepuk tangan jika diistiharkan satu ‘polisi balik kepangkal jalan ’. Fikirlah sendiri!.