Tuesday, 30 March 2010

PEMIKIRAN KRITIS – SATU MESEJ BERKEYAKINAN, KEKUATAN, KEBERANIAN, MAMPU BERSAING DAN MEMPUNYAI KEBIJAKSANAAN.  Melayuraya daily- Dato'  Azizan Yaakob.


Berfikiran kritis adalah proses mental yang memerlukan interaksi antara pengetahuan, kemahiran dan sikap bagi membolehkan individu memahami dan mencorak alam sekelilingnya.

Kritis berasal dari perkataan Inggeris 'Critic'. Kritis adalah kata dasar dari perkataan Greek 'kriths' (kritikos) ertinya menimbang (judge). Menimbang maksudnya menilai, membanding, membeza, mencetuskan dan menyoal samada sesuatu itu benar atau salah. Kritis bukan kritik dalam pengertian biasa bersifat negatif seperti kritikan, hentam, kecam, komen atau bangkang.

Pemikiran kritis dapat membantu mencari kesilapan, kesalahan dan kelemahan pada cara-cara berfikir seseorang atau pada idea-idea atau cadangan yang dikemukakan. Ia dapat membantu untuk memperbaiki kesilapan atau kelemahan  idea seseorang itu samada boleh diterima atau ditolak disebabkan tidak jelas, kabur dan tidak cukup maklumat.

Pemikiran Kritis bersifat terbuka menerima sesuatu idea atau pendapat dan  berupaya mempertimbangkan idea-idea itu semula dengan menganalisa setiap sudut dan aspek. Pemikiran kritis juga turut mencernakan beberapa idea dan konsep baru yang lebih sempurna daripada pandangan atau idea yang diterima sebelumnya.

Kritis adalah kebolehan untuk membantu dan memperbaiki idea-idea individu lain supaya ia boleh diterima atau ditolak sekiranya idea-idea itu tidak benar atau tidak ada kepastian samada hendak diterima atau tidak, disebabkan tidak cukup maklumat untuk menerima atau menolak. Kritis memerlukan kemahiran tertentu seperti kebolehan untuk mendengar, membaca fikiran, menilai hujah-hujah, merenung dan mencari andaian-andaian yang tersirat.

Salmon,M.A (1996).Introduction to logic and critical thinking  mengatakan bahawa "kiritis adalah keupayaan untuk menganalisa apa yang diperkatakan, menilai dengan teliti, mencari bukti tentang sesuatu perkara, menyusun atur semua maklumat dengan tepat, mengelak dari membuat kesilapan cara berfikir, meneliti dan menyoal perkara-perkara yang tidak munasabah serta membuat keputusan dan perancangan berdasarkan kepada maklumat yang ada"

Wak Salmon, lagi menyambung "kritis memberi perhatian khusus tentang apa yang kita dengar dan baca supaya kita dapat memahami dan memberi maklum balas yang sewajarnya. Kita menggunakan bahasa untuk berkomunikasi antara satu sama lain dan komunikasi itu berlaku dalam berbagai cara. Kita melahirkan perasaan seperti suka, duka, marah dan harapan dalam bahasa. Begitu juga kita menyampaikan maklumat, seterusnya kita membuat persolanan, membuat permohonan dan mengeluarkan arahan. Kita perlu pastikan ada bukti bahawa semua maklumat yang disampaikan melalui komunikasi adalah betul". Kritis bertujuan merenung dengan mendalam berbagai isu untuk mencari kefahaman-kefahaman baru. Kritis dapat menentukan samada sesuatu kenyataan itu betul atau salah. Menilai mutu penghujahan yang digunakan untuk menyokong kesimpulan yang dibuat, Mentafsir  idea-idea yang kompleks, Kitikian yang masuk akal atau tidak, bagi memperteguhkan lagi idea tersebut. Kritis bersifat terbuka dan tidak rigid.

Kritis adalah satu bentuk berfikir yang dilakukan untuk diri sendiri ( thinking for oneself). Seseorang harus memikirkan sesuatu isu atau masalah yang telah, sedang dan akan berlaku berdasarkan pemikiran sendiri tanpa dipengaruhi oleh pemikran orang lain. Kritis membawa kita berfikir sendiri lebih bersistem, berkompas serta konsisten  dalam membuat keputusan. Keputusan berdasarkan fikiran sendiri merujuk kepada maklumat yang lengkap. Apa yang kita fikirkan menjadi keputusan. Kita menerima hakikat keputusan itu dan menanggung risikonya.

Fikiran yang dikawal oleh prasangka, kurang maklumat atau emosi cenderung membuat keputusan tergopoh gapah, terburu-buru bukanlah pamiran satu pemikiran yang kritis. Lebih malang bila mengemukakan jawapan mudah pada hal-hal yang sukar dan kompleks. Pemikiran yang tidak kritis juga mudah keliru antara kebenaran, realiti dan idealisma. Seseorang yang kritis juga boleh mengukur risikonya.

Asas pemikiran kritis adalah logik. Logik dan kritis adalah sains teoritis. Logik dan kritis berpaut seperti tebing dengan sungai. Kirtis bersandar terus pada logik. Mendalami  kritis perlu menguasai ilmu logik. Semua hal yang ada kaitan dengan pemikiran kritis,  logik menjadi terasnya. Logik adalah pancang menentukan sempadan pemikiran kita itu benar atau salah.

Kritis adalah satu bentuk kemahiran membuat penilaian berkenaan sesuatu data atau maklumat meliputi membanding, membeza, menyusun atur, mengelas dan mengenalpasti sebab-akibat. Pemikiran kritis mampu menganalisa sesuatu hujah itu kuat atau lemah. Teori yang kuat dipakai yang lemah disangkal. Sudah tentu, seseorang yang berfikiran kritis cekap menganalisa sesuatu hujah yang lemah samada pengucapan atau penulisan. Seseorang yang benar-benar kritis dapat membaca standard pemikiran orang lain melalui beberapa baris pengucapannya.
Sifat seorang yang kritis pada awal komunikasinya dengan orang lain banyak bertanya bagi mengesan pemikiran seseorang itu.

Kritis membentuk style, personaliti dan keterampilan seseorang dalam semua zaman. Bagaimanapun setiap zaman mempunyai gaya pemikiran kritis yang berbeza berdasarkan persekitaran kehidupan. Kritis zaman batu tidak sama dengan kritis zaman masyarakat pertanian dan kritis zaman masyarakat pertanian tidak sama dengan zaman perindustrian. Kita sekarang berada dizaman informasi yang menyeru kepada dunia tunggal. Apakah kita sudah memasang pemikiran kritis dunia tunggal ? jika tidak, kita terus melangkah kehadapan, alih-alih kita menyedari rupanya berada  dibelakang.

No comments: