Friday 7 May 2010

DEB VS MEB – RESULT ORIENTED

APA TUN DR. MAHATHIR BUAT LEBIH 23 TAHUN MEMERINTAH MALAYSIA UNTUK EKONOMI BUMIPUTERA?.- melayurayadaily- Dato’ Azizan Yaakob.


Bila saya buka mulut mengajak bicara mengenai capaian DEB, dengan membuka tajuk seperti diatas sudah tentu Datuk Ibrahim Ali dan Perkasa terus melompat dan berkeriau mengatakan saya kurang asam, tidak sopan dan tidak mengenang budi kerana mempertikaikan TDM. Mereka akan kata saya kecewa kerana TDM tidak calonkan saya sepenggal lagi tahun 1999. Kalau TDM calonkan saya pun Dato’ Sri Adnan akan pancas juga 2008 kerana orang lain sudah berbaris tunggu giliran untuk jadi calon BN setiap kali Pilihanraya.

Jika TDM letak saya calon Parlimen PRU 1999 itu, mungkin TDM tidak bersara lagi 2003 dan tentu BN tidak koyak teruk kerana Pak Lah tidak jadi PM. “Siapa kamu?” soal mereka. Mudah sahaja saya jawab, kadang kala sebiji batu kecil pengalas tiang tergolek, menyebabkan rumah jadi runtuh semua. Bukankah saya exco pemuda UMNO Malaysia zaman sebelum politik wang dahulu yang menyinsing lengan bila Anwar hentam Dr. M. Kemudian TDM anugerah satu sijil kepada saya kerana keberanian itu. Barangkali pemuda lain tidak dapat ijazah itu. Sijil itu diberi apabila TDM sedar bahawa dia terlepas pandang hingga saya tidak bertanding 1999. Apa pun kita jangan sesal kerana sedar atau tidak kita bergerak dalam rangka ketetapan Tuhan. Saya insaf.

Memang benar angin melayu akan meruap jika saya pasang topik seperti ini. Mereka akan menjerit menenyeh muka saya dan bertanya kepada saya “ Tak nampakkah apa yang TDM buat ?. Buta ke?. Lihat, itu KLCC, Putrajaya, Proton, Produa, KLIA, Litar Sepang, Cyberjaya, LRT, Mono Rel, Jambatan Pulau Pinang, Dunia siber, Lebuhraya PLUS, Bank Islam dan banyak lagi”. Mereka akan sumbat mulut saya dengan berus sabut dan tidak beri peluang kepada saya untuk bernafas jika sentuh TDM. Mereka tidak cuba mendengar dan meneliti apa yang saya ingin cetuskan. Baiklah, andai begitu saya tulis, saudara bacakan. Bila duduk dalam tenang mungkin benar apa yang saya terangkan. Jika salah pun sekurang kurangnya kita berjaya berfikir cara kritis.

Semalam saya lawati suara-halus dari blog-blog yang tersembunyi, diantaranya ‘blog Pantau’ yang ditulis oleh budak Setiu Terengganu, lulusan Doktor falsafah dari UUM yang melahirkan ramai pemikir yang tajam-tajam diMalaysia. Secara naratif seperti ucapan ahli parlimen poyo dia mendebatkan tentang DEB-MEB. Bagus juga Dr.Faudzi Musa itu mengupas ekonomi yang bertolak dari batu pijaknya pegangan bumiputera 7 % pada sebelum tahun 1970 hingga berlakunya krisis hitam Mei 13, 1969.( KLIK SINI ).

Meminggirkan Tengku Abdul Rahman Putra, Tun Razak mempengerusikan MAGERAN, sebuah kerajaan Kudeta (rampasan tentera), langsung menjadi PM dan membentuk DEB tahun 1970. DEB menyasarkan 30% kontrol bumiputera disektor ekonomi dalam tempoh 20 tahun ( 1970 – 1990). Bila dihitung tahun 1990, pungutannya hanya 18%. Walaupun, tempohnya berakhir 1990 tetapi kerana golnya bolos, semangat DEB dilangsung hingga 2010. Aneh, keberhasilan masa tambahan 20 tahun orang Sabah bilang “tida guyang dan tatap” 18%. Walaupun DEB mengunyah masa 40 tahun merentasi lapan PELITA Malaysia.

Lima orang PM bermula dari Tun Razak, Tun Hussein, Tun Dr.Mahathir, Tun Abdullah hingga permulaan PM Najib jika dikira dari sebelum DEB 1970 hanya 7 %, sampai 2010 hanya mencapai 18%. Ini bermakna tempoh 1970 hingga 2010, 40 tahun, lima orang PM hanya menggondol 11% ( 18% - 7%).

Dari jumlah 40 tahun DEB, TDM berkuasa 23 tahun. Empat PM lain memerintah 17 tahun. Dengan purata mudah PM lain itu hanya pegang kuasa hanya 4 tahun 3 bulan seorang. Jika dikira secara purata pertumbuhan setiap tahun selama 40 tahun pemilikan bumiputera hanya cambah 0.275 % setahun x 40 tahun = 11%. TDM, 23 tahun x 0.275% = 6.325%. Empat orang PM lain puratanya 4.675%. Itu sebab saya cakap tadi TDM buat apa 23 tahun jika sekadar capai 6.325%. Salahkah saya bertanya?.

Mengukur kejayaan TDM itu 6.325% selama 23 tahun, bermakna DEB boleh sampai sasarnya perlukan masa 115 tahun.. Jika tidak percaya silakan ambil calculator. Dengan mengandaikan TDM didik 1% setahun, 23 tahun 23%. Jika ditotal dengan 7% sebelum DEB, sudah 30 %. Bukan kah penuh tempayan?. Saya ambil TDM sebagai refference purata kerana dia memerintah 23 tahun. Tun Razak, Tun Hussein, masa mereka tidak panjang dan mereka mengalami masalah kesihatan. Tun Abdullah singkat juga, kerana ada menantu kurang sihat, dan masa tidur setengah, sudah tentu tidak banyak titipannya.

Sengaja saya lontarkan sifir maggi ini supaya PM Najib mempunyai kompas kerjayanya dalam mengucai MEB mesti bermula dari 18%. Jika diakhir hayat KePresidennannya mencapai 25% maka PM Najib berjaya kutip 7%, jika jaring 15% sudah extra 3% ( 33%). Begitulah pulangbaliknya.

Lo jika begini gayanya, Perkasa dan himpunan NGO melayu hatta UMNO tidak perlulah risau dan memekik lagi. Kita jadi otak bangsa ‘result oriented’. Saya percaya inilah yang tersirat dalam visi PM Najib “ pencapaian diutamakan”. Slogan politik kenegaraan yang merangkumi sosial, agama, budaya, pendidikan, dan peranan pemimpin serta pegawai awam adalah “ Rakyat didahulukan”. Pencapaian diutamakan adalah soal bisnes dan bagian ekonomi antara kaum supaya setara adalah substance.

Apa yang kita igaukan adalah perubahan angka dalam pelang ekonomi. Jenama dasar samada DEB atau MEB dan lain-lain , tidak penting. Siapa yang rumus polisi ekonomi, samada APCO ke, Yahudi ke, Nasrani ke, Barat ke, Timur ke atau Cina serta India ke, juga kurang perduli. Yang maha penting bagi kita adalah hasil lonjak dari 18% kek bumiputera. Buat apa kita semua bangga penggubal polisi 100% melayu hasil tambahnya ciput seperti yang sudah –sudah. Jika tepung roti tidak naik, baru kita baling batu pengadunnya.

Sekiranya, dalam jangka tertentu angka tidak nampak keluk meroket, baru kita bising bertanya “WHY-WHY-WHY”. Jika kita jolok sekarang dan sibuk menyoal terbuka, apa yang tersirat jadi tersurat. Ingat, Art of War- Sun Tzu pesan “setiap yang berbentuk boleh dihalang”. Jika kita biarkan tempuh matang, PM Najib selaku CEO Malaysia gagal melunas prestasi, apa yang dituntut tidak kecapaian, dia sendiri pun tahu langkah mana dia akan pilih. Syonara!. Lantaran itu saya menyeru kita mengalih bayang gelagat nenek moyang kita dari pelatah atau penghomis kepada pemikir seperti rakyat rantau maju “Result Oriented”. Fikirlah.